Kelonggaran Pergerakan Untuk Individu Lengkap 2 Dos Vaksin
Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.
Sehubungan itu, beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin.
“Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang mendapat dua suntikan vaksin supaya diberi kelonggaran.
“Ia sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran. Ini petanda untuk menunjukkan sementara kita menguruskan COVID-19, maka kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa lepas,” katanya.
Pertimbangan kelonggaran pergerakan itu adalah satu inisiatif untuk terus bergerak ke hadapan sewaktu pandemik.
Kelonggaran diberi berdasarkan fakta sains
Kajian untuk memberikan kelonggaran kepada individu yang memperoleh suntikan imunisasi lengkap dibuat bersandarkan beberapa faktor, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia merangkumi model pelaksanaan yang digunakan negara jiran dan fakta sains, selain kebimbangan diutarakan pelbagai pakar kesihatan.
Sebarang keputusan dimuktamadkan Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu akan dibuat secara menyeluruh bagi mengelak risiko penularan jangkitan pada masa depan.
“Kita ambil maklum semua perkara termasuk kebimbangan pakar seperti dalam laporan muka depan akhbar hari ini. Ada pihak yang bimbang dan minta supaya terus kuat kuasakan larangan rentas negeri serta daerah, tetapi berkemungkin beberapa pengecualian berupaya diberikan.
Contohnya, pasangan jarak jauh yang masing-masing sudah lengkap suntikan imunisasi, maka kita boleh benarkan mereka rentas daerah dan negeri untuk berjumpa.
Antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan kes jangkitan kategori satu dan dua, selain mengekalkan larangan rentas negeri serta daerah.
Ismail Sabri berkata negara jiran, termasuk Singapura masih giat mempertimbangkan kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin, memandangkan situasi semasa pandemik COVID-19 berubah-ubah.
Katanya, Negara Kota Singa itu sebelum ini membenarkan kelonggaran untuk makan di kedai, namun mula menarik balik keputusan berkenaan kerana bimbang risiko penularan jangkitan.
“Justeru, ia petanda bahawa kita tidak boleh ambil ringan mengenai keputusan memberikan kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin ini. Bagaimanapun, kita juga ambil kira keperluan memberikan kelonggaran kepada jenis perniagaan yang sudah memberikan suntikan imunisasi kepada semua pekerjanya.